Tahun 2013

20090721

Motivasi

Perancangan Budaya Kerja Cemerlang

Apabila disebut sahaja perkataan “Budaya Kerja Cemerlang”, akan tergambar dalam fikiran kita bermacam-macam pendekatan,strategi dan teknik yang digunakan untuk mencapainya. Dalam sesuatu organisasi kita akan mendengar “MBO” (Management by Objectif) yang melibatkan visi, misi, objektif, plan bertindak, tema piagam dan sebagainya.

Budaya Kerja akan dirancang berdasarkan visi, misi dan objektifnya. Sebagai contoh, sebuah organisasi yang telah menetapkan misinya untuk mendidik pelajar supaya menjadi guru yang budiman, cekap, kreatif pengajaranya, serta dapat menjadi mangkin kepada kemajuan pendidikan di sekolah telah menetapkan budaya kerjanya seperti berikut:

Cara-cara kerja atau budaya kerja yang hendak dibina ialah berdasarkan dorongan ke arah pencapaian hasil yang bermutu dan perkhidmatan yang cemerlang, sentiasa menghasilkan idea baru, berdisplin, ilmiah dan profesional, mesyuarat, kerja berpasukan, rangkaian kerja dan berorientasikan pelajar.

Kita mengamati bahawa penyertaan budaya kerja yang sedemikian rupa amat strategik, profesional dan merangkumi aspek pengurusan yang berkesan. Secara umumnya kita bersetuju dengan penyertaan tersebut.

Bagaimanapun, apabila kita berbincang tentang pandangan mengikut perspektif Islam, kita perlu memperhalusi budaya kerja tersebut. Dengan beberapa soalan dan tindakan seperti berikut:

1. Tidakkah kita terlepas pandang mengenai persoalan niat? Apakah niat kita melaksankan kerja-kerja tersebut? Jika setiap kali kita bersembahyang, kita akan berniat, apakah kita tidak perlu berniat dalam melaksanakan sebarang kerja di luar waktu sembahyang?
Maksud Hadith Rasulullah SAW bermaksud:
“Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan”

2. Tidakkah kita memerlukan bimbingan syariah untuk melaksanakan unsur-unsur dalam budaya kerja tersebut? Jika kita bertembung dengan persoalan keutamaan, kita akan bertanya yang manakah berkategori wajib dan yang mana pula berkategori sunat. Apabila kita bertembung dengan persoalan “boleh atau tidak boleh dilakukan” kita berhadapan dengan masalah hukum halal, haram, harus, sunat atau syubhat.
Maksud Hadith Rasulullah SAW bermaksud:
“ Sesungghnya yang halal itu nyata (jelas) dan yang haram itu nyata (jelas) dan diantara keduanya ada perkara-perkara kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barang sesiapa memelihara dirinya daripada segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya.

3. Tidakkah ada dasar-dasar Islam yang berkait rapat dengan budaya kerja yang kita lakukan? Contohnya, dalam soal kepimpinan dan kepatuhan terhadap pemimpin. Siapa dan kepimpinan yang bagaimanakah yang wajib dipatuhi?.
Firman Allah swt. Bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah SAW dan kepada “Ulif-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali kepada (kitab) Allah dan Sunnah RasulNya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Sunnah RasulNya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikain adalah labih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya.” (An-Nisa : 59)
Firman Allah swt. bermaksud:
“Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. (An-Nisa : 119)

4. Apakah kita merasa aman dan bolah melepaskan diri daripada natijah sebarang amalan atau gerak kerja yang kita lakukan? Tidakkah kita merasa perlu mengenal pasti kedudukan sesuatu amalan sama ada ianya diterima oleh Allah swt. sebagai suatu kebajikan atau sebaliknya?
Firman Allah swt. bermaksud :
“ Sesiapa yang membawa amal kebajikan (pada hari akhirat) maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebajikan) yang sama denganya: dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama denganya, sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Al-An’aam : 160)
Firman Allah swt. bermaksud :
“Orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” (Al-Kahfi : 104)
Firman Allah swt. bermaksud :
“Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah) dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.” (Al-Baqarah : 175).

5. Apakah unsur-unsur budaya kerja tersebut dapat menjurus kita untuk mencari keredhaan Allah?.” Adakah kerja-kerja yang kita lakukan adalah tergolong dalam kategori memenuhi kehendak Islam atau sebaliknya? Jika tidak, apakah perlu proses Islamisasi terhadap unsur tersebut dan bagaimanakah caranya untuk bertindak sedemikian?
Firman Allah swt. bermaksud :
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Ankabut : 69)

6. Apakah budaya kerja tersebut tidak membabitkan kita melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah dan RasulNya? Lebih ,malang lagi jika amalan tersebut telah meletakkan kita sebagai penentang kebenaran ayat-ayat Allah.
Firman Allah swt. bermaksud :
“Dan orang-orang yang berhjjah menyangkal dan membantah tentang kebenaran agama Allah sesudah disebut dan diterima agamaNya itu, bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu sia-sia berlaku di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.” (As-Syura : 16)
Firman Allah swt. bermaksud :
“Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat Allah, mereka itulah ahli neraka.” (Al-Haj : 51)
Firma Allah swt. bermaksud:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang yang beroleh kemenangan.” (An-Nur : 52)

Ringkasnya, proses refleksi perlu dilakukan terhadap seluruh gerak kerja kita baik dalam aspek kerja individu, bermasyarakat atau berorganisasi. Dalam konteks budaya kerja cemerlang mengikut perspektif Islam kecemerlagan yang sebenarnya terletak sejauhmana amalan tersebut disandarkan kepada konsep pengabdian kepada Allah swt. melalui proses berniat. Selepas itu amalan tersebut perlu dirancang, dilaksana dan ditapis mengikut aturan syariah. Proses seperti ini sebenarnya hanyalah proses mengubahsuai gagasan budaya kerja cemerlang yang telah sedia ada dipaparkan di hadapan kita untuk diselaraskan dengan kehendak Islam. Pendekatan ini seharusnya mampu kita kuasai untuk berhadapan dendan pelbagai saranan budaya kerja cemerlang yang dihadapan kepada kita setiap masa.

Sumber : Ustazah Emalia Kartini.

No comments: